English | Malay

DAYASARI

Asrama Kelima telah dibuka secara rasmi oleh Prof. Francis Morsingh pada Jun 1966. Beliau adalah pengetua yang pertama. Nama asrama Kelima kemudian ditukar kepada Kolej Kediaman Kelima (KK5).

Kolej Kediaman Kelima terdiri daripada 5 buah blok. Pada mulanya hanya dua buah blok yang digunakan iaitu blok A dan blok B, manakala yang lain masih lagi dalam pembinaan. Kesemua blok mula digunakan pada bulan Ogos 1966 iaitu hari pertama semester kedua bermula. Walaubagaimanapun, lampu jalan dan jalan raya masih belum siap sehingga penghujung tahun 1967. Pada awal penubuhan, kolej ini dihuni oleh pelajar-pelajar lelaki sahaja. Pelajar perempuan mula menghuni pada sesi pengajian 1968/1969 iaitu seramai 98 orang.

Tanggal 20 Disember 1986, kolej ini secara rasminya telah diberi nama Kolej Kediaman Dayasari yang diilhamkan oleh pengetua dan para penyelia. Nama Dayasari diambil dari 2 perkataan iaitu “Daya” bermaksud usaha dan “Sari” bermaksud intipati. Apabila digabungkan, makna disebaliknya ialah “ suatu usaha yang bermutu”.

Kolej ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sebuah dewan makan, bilik persidangan, perpustakaan, bilik seminar dan cafeteria. Selain itu, kedai koperasi juga disediakan dibilik rehat yang dilengkapi televisyen dan set sofa. Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada para penghuni. Sebuah surau juga dibina dan dinamakan “Nurul Hidayah” yang membawa maksud Cahaya Petunjuk. Ia dirasmikan oleh bekas mufti Besar Selangor, Dato’ Hj. Ishak Baharom pada 29 Disember 1996 bersamaan 18 Syaaban 1417. Surau ini dilengkapi dengan hawa dingin, kipas, pembesar suara dan lain-lain kelengkapan keperluan.

Kemudahan lain yang terdapat di sini ialah gelanggang tennis, bola tampar, bola jaring, hoki, badminton dan sepak takraw. Ini membantu kolej ini menjadi terkenal sebagai kolej yang aktif dalam sukan. Ramai pelajar kolej ini adalah pemain varsiti. Kolej ini juga berjaya dalam aktiviti akademik dan kokurikulum. Pada tahun 1997, satu projek besar dijalankan untuk menempatkan pelajar-pelajar PALAPES di blok A.Ini menunjukkan kolej ini merupakan kolej yang bukan sahaja dikenali sebagai gergasi sukan Universiti Malaya malahan dikenali juga sebagai Kolej PALAPES.

Kesatuan, kegigihan dan kesepaduan warga Kolej Dayasari menjadi teras utama kejayaan kolej kelima ini. Semoga kolej ini dapat meneruskan tradisi kecemerlangan samada akademik mahupun bukan akademik.


Tarikh Kemaskini: 30/5/2013                                           Copyright © 2010 Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya. Malay Version